Published in Berita Harian 13 August 2010
Terikat
'OSMAN, apa kau buat ni?' tegur Kak Lah sambil mencapai lenganku.
Dia merenung tepat ke arah muka bujur sirihku. Aku terpinga-pinga buat seketika.
Mengapa Kak Lah menanyakan sesuatu yang sudah terang jawapannya? Dahiku berkerut. Inilah kata orang sudah terang hendak bersuluh!
Aku menoleh kembali ke arah seorang lelaki tua lesu yang melentokkan kepala ke kiri.
Tangannya melekat di cermin yang menjadi pengadang di antara aku dan dia. Matanya yang pudar sekilas menunjukkan kesengsaraan yang ditanggungnya dan kehampaan yang dirasainya.
Di mana keluarga pak cik ini? Hatiku mengeluh mengenangkan nasib malang yang menimpa hamba Allah ini yang seumur dengan ayahku.
Walaupun lenganku masih ditarik-tarik oleh kakak, aku tetap menurunkan tingkap kereta lalu menghulur wang lima dolar kepada lelaki itu.
Marah dengan tingkah-lakuku, kakak mengherdik:
'Dasar orang pemalas. Allah pun tak suka dengan perangai macam begini. Apa gunanya ada tangan dan kaki kalau malas hendak berusaha?
'Osman, kau pun satu... jangan bagi muka dengan orang macam gini. Kau tengok orang bangsa lain. Tua-tua macam dia pun masih kumpul tin-tin kosong, surat khabar dan kerja sebagai pembersih. Mana mereka mengemis? Kau pun bukannya kaya sangat.'
Aku mendiamkan diri sahaja. Ini bukan kali pertama aku bertegang urat dengan kakak gara-gara isu menderma.
Siapalah aku? Kakak seorang peguam. Dia bermula dari bawah. Orang tua kami memang miskin. Namun, kegigihan dan kesabaran kakak telah berjaya membawanya jauh daripada status asal kami.
Aku tabik kakak. Tidak pernah dia melupakan jasa baik ibu dan ayah. Dia memang seorang anak yang boleh dibanggakan. Cuma, iyalah, siapa yang tidak mempunyai kekurangan?
Hanyut di dalam kejayaannya, dia mula lupa bahawa tidak semua yang diinginkan dapat dimiliki dengan berusaha.
Baginya, selagi kita usaha, selagi itu kita akan berjaya. Seseorang itu gagal hanya kerana dia tidak cukup kuat berusaha. Itulah pandangannya terhadap mereka yang kurang berjaya dari segi karier mahupun kewangan seperti aku.
Aku seorang penghantar makanan segera sahaja. Anakku ramai. Tujuh orang kesemuanya. Aku anggap itu rezeki tetapi sebaliknya buat kakak.
'Engkau ni Nab, tak ada perancangan keluarga ke? Anak dah enam, dah terkial-kial dengan bil elektrik dan persekolahan anak, itu pun mengandung lagi. Tak kesian ke dengan suami kau?' tegur kakak.
Zainab, isteriku yang sedang sarat mengandung, hanya menundukkan kepala. Aku tahu Nab geram dengan kata-kata tidak bertapis kakak.
Orang yang tidak mengenali kakak akan menuduhnya suka menjaga tepi kain orang tetapi aku tahu niat kakak baik. Dia mahu yang terbaik untuk kami semua.
'Anak itu satu anugerah...'
Belum sempat aku menghabiskan ayat ku, kakak menyampuk.
'Kau tak baca surat khabar ke? Ni lah orang kita. Beranak aje tahu. Lepas tu, anak bersepah. Pelajaran kat mana, akhlak kat mana. Minta CDC, minta Muis, minta sana, minta sini. Anak-anak kau jangan sampai belajar setengah jalan kerana kesusahan dan kegelojohan engkau dah, Man!' Menitis air mata Zainab.
Aku pun naik berang tetapi memandangkan dia kakak aku yang sulung, aku diam. Melihat suasana yang kian tegang, kakak rasa semakin tidak selesa lalu meminta diri dulu.
'Ada benar agaknya apa yang dicakapkan Kak Lah semalam ye bang?' kata Zainab sambil menghidangkan aku lauk ikan bilis sambal tumis dan telur dadar.
Aku merenung muka isteriku. Sudah lebih 12 tahun kami bersama. Zainab, seorang isteri yang sangat sabar dengan kedaifanku.
'Abang minta maaf Nab, sebab tidak dapat memberi kesenangan pada keluarga kita. Sepatutnya abang belajar bersungguh-sungguh dulu,' jawabku dengan nada suara yang rendah.
Sebentuk cincin rotan halus pun tidak mampu aku berikan kepada isteriku seorang.
'Abang, Nab rasa abang yang lebih mengetahui erti berusaha. Abang bekerja hari-hari. Lebih 14 jam pula tu. Tidak ada cuti. Semuanya untuk keluarga. Sedih Nab tengok abang mengokol kepenatan di bilik tiap-tiap malam,' ujar Zainab dengan bergelinangan air mata. Isteri aku memang sensitif orangnya.
Aku membelai rambutnya lalu berkata: 'Nab. Memang Allah suruh kita berusaha. Allah marah dengan orang yang hanya berdoa tetapi tidak bekerja.
'Tetapi, kita harus ingat, walau bagaimanapun, kita tetap terikat dengan takdir Allah. Misalnya abang Nab, Azman. Sudah 20 tahun berkahwin tetapi masih tidak dikurniakan zuriat.
'Doktor sudah memeriksa mereka suami isteri dan kedua-duanya sempurna dan sihat-sihat belaka. Mereka berusaha gigih bertahun-tahun lamanya. Namun, Allah yang menentukan semuanya. Bagaimana hebat seseorang itu pun, dia tetap terikat dengan takdir Allah. Nab faham apa yang abang katakan?'
Zainab mengangguk-angguk kepalanya.
'Rezeki kita memang telah ditetapkan oleh Allah sebegini sahaja buat masa ini. Esok dan lusa, kita tidak tahu. Mungkin lebih baik atau mungkin lebih teruk. Kita hanya berdoa, bekerja keras dan kemudian, bertawakal,' sambung aku.
Malam itu, setelah aku memberi salam, aku mendongak ke langit.
Orang memandang rendah padaku. Aku sedih. Sedih melihat layanan berbeza yang diterima isteriku semata-mata dia tidak berpakaian mewah. Sedih melihat anak-anakku.
Aku hanya mampu memberi mereka tempat berteduh dan makanan. Lebih daripada itu hanyalah sebahagian daripada impianku.
Aku juga insan biasa yang inginkan kemewahan dunia. Puas aku berikhtiar untuk melebihkan pendapatanku demi keluarga. Namun, aku juga sedar betapa aku terikat dengan takdir-Mu.
Ya Allah, kau lebih mengetahui segalanya, apa yang baik dan buruk untukku sekeluarga.
Jikalau kesederhanaan itu boleh mengelakkan kami daripada perasaan takbur, sombong dan kekufuran, kesederhanaan itulah yang kami harapkan. Akan aku didik ketujuh-tujuh anakku dengan sesempurna mungkin. Biar sederhana tapi sempurna. Amin ya rabbal alamin.
http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,170619,00.html
Monday
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment