Monday

Berita Harian - Terikat (Malay)

Published in Berita Harian 13 August 2010

Terikat
'OSMAN, apa kau buat ni?' tegur Kak Lah sambil mencapai lenganku.

Dia merenung tepat ke arah muka bujur sirihku. Aku terpinga-pinga buat seketika.

Mengapa Kak Lah menanyakan sesuatu yang sudah terang jawapannya? Dahiku berkerut. Inilah kata orang sudah terang hendak bersuluh!

Aku menoleh kembali ke arah seorang lelaki tua lesu yang melentokkan kepala ke kiri.

Tangannya melekat di cermin yang menjadi pengadang di antara aku dan dia. Matanya yang pudar sekilas menunjukkan kesengsaraan yang ditanggungnya dan kehampaan yang dirasainya.

Di mana keluarga pak cik ini? Hatiku mengeluh mengenangkan nasib malang yang menimpa hamba Allah ini yang seumur dengan ayahku.

Walaupun lenganku masih ditarik-tarik oleh kakak, aku tetap menurunkan tingkap kereta lalu menghulur wang lima dolar kepada lelaki itu.

Marah dengan tingkah-lakuku, kakak mengherdik:

'Dasar orang pemalas. Allah pun tak suka dengan perangai macam begini. Apa gunanya ada tangan dan kaki kalau malas hendak berusaha?

'Osman, kau pun satu... jangan bagi muka dengan orang macam gini. Kau tengok orang bangsa lain. Tua-tua macam dia pun masih kumpul tin-tin kosong, surat khabar dan kerja sebagai pembersih. Mana mereka mengemis? Kau pun bukannya kaya sangat.'

Aku mendiamkan diri sahaja. Ini bukan kali pertama aku bertegang urat dengan kakak gara-gara isu menderma.

Siapalah aku? Kakak seorang peguam. Dia bermula dari bawah. Orang tua kami memang miskin. Namun, kegigihan dan kesabaran kakak telah berjaya membawanya jauh daripada status asal kami.

Aku tabik kakak. Tidak pernah dia melupakan jasa baik ibu dan ayah. Dia memang seorang anak yang boleh dibanggakan. Cuma, iyalah, siapa yang tidak mempunyai kekurangan?

Hanyut di dalam kejayaannya, dia mula lupa bahawa tidak semua yang diinginkan dapat dimiliki dengan berusaha.

Baginya, selagi kita usaha, selagi itu kita akan berjaya. Seseorang itu gagal hanya kerana dia tidak cukup kuat berusaha. Itulah pandangannya terhadap mereka yang kurang berjaya dari segi karier mahupun kewangan seperti aku.

Aku seorang penghantar makanan segera sahaja. Anakku ramai. Tujuh orang kesemuanya. Aku anggap itu rezeki tetapi sebaliknya buat kakak.

'Engkau ni Nab, tak ada perancangan keluarga ke? Anak dah enam, dah terkial-kial dengan bil elektrik dan persekolahan anak, itu pun mengandung lagi. Tak kesian ke dengan suami kau?' tegur kakak.

Zainab, isteriku yang sedang sarat mengandung, hanya menundukkan kepala. Aku tahu Nab geram dengan kata-kata tidak bertapis kakak.

Orang yang tidak mengenali kakak akan menuduhnya suka menjaga tepi kain orang tetapi aku tahu niat kakak baik. Dia mahu yang terbaik untuk kami semua.

'Anak itu satu anugerah...'

Belum sempat aku menghabiskan ayat ku, kakak menyampuk.

'Kau tak baca surat khabar ke? Ni lah orang kita. Beranak aje tahu. Lepas tu, anak bersepah. Pelajaran kat mana, akhlak kat mana. Minta CDC, minta Muis, minta sana, minta sini. Anak-anak kau jangan sampai belajar setengah jalan kerana kesusahan dan kegelojohan engkau dah, Man!' Menitis air mata Zainab.

Aku pun naik berang tetapi memandangkan dia kakak aku yang sulung, aku diam. Melihat suasana yang kian tegang, kakak rasa semakin tidak selesa lalu meminta diri dulu.

'Ada benar agaknya apa yang dicakapkan Kak Lah semalam ye bang?' kata Zainab sambil menghidangkan aku lauk ikan bilis sambal tumis dan telur dadar.

Aku merenung muka isteriku. Sudah lebih 12 tahun kami bersama. Zainab, seorang isteri yang sangat sabar dengan kedaifanku.

'Abang minta maaf Nab, sebab tidak dapat memberi kesenangan pada keluarga kita. Sepatutnya abang belajar bersungguh-sungguh dulu,' jawabku dengan nada suara yang rendah.

Sebentuk cincin rotan halus pun tidak mampu aku berikan kepada isteriku seorang.

'Abang, Nab rasa abang yang lebih mengetahui erti berusaha. Abang bekerja hari-hari. Lebih 14 jam pula tu. Tidak ada cuti. Semuanya untuk keluarga. Sedih Nab tengok abang mengokol kepenatan di bilik tiap-tiap malam,' ujar Zainab dengan bergelinangan air mata. Isteri aku memang sensitif orangnya.

Aku membelai rambutnya lalu berkata: 'Nab. Memang Allah suruh kita berusaha. Allah marah dengan orang yang hanya berdoa tetapi tidak bekerja.

'Tetapi, kita harus ingat, walau bagaimanapun, kita tetap terikat dengan takdir Allah. Misalnya abang Nab, Azman. Sudah 20 tahun berkahwin tetapi masih tidak dikurniakan zuriat.

'Doktor sudah memeriksa mereka suami isteri dan kedua-duanya sempurna dan sihat-sihat belaka. Mereka berusaha gigih bertahun-tahun lamanya. Namun, Allah yang menentukan semuanya. Bagaimana hebat seseorang itu pun, dia tetap terikat dengan takdir Allah. Nab faham apa yang abang katakan?'

Zainab mengangguk-angguk kepalanya.

'Rezeki kita memang telah ditetapkan oleh Allah sebegini sahaja buat masa ini. Esok dan lusa, kita tidak tahu. Mungkin lebih baik atau mungkin lebih teruk. Kita hanya berdoa, bekerja keras dan kemudian, bertawakal,' sambung aku.

Malam itu, setelah aku memberi salam, aku mendongak ke langit.

Orang memandang rendah padaku. Aku sedih. Sedih melihat layanan berbeza yang diterima isteriku semata-mata dia tidak berpakaian mewah. Sedih melihat anak-anakku.

Aku hanya mampu memberi mereka tempat berteduh dan makanan. Lebih daripada itu hanyalah sebahagian daripada impianku.

Aku juga insan biasa yang inginkan kemewahan dunia. Puas aku berikhtiar untuk melebihkan pendapatanku demi keluarga. Namun, aku juga sedar betapa aku terikat dengan takdir-Mu.

Ya Allah, kau lebih mengetahui segalanya, apa yang baik dan buruk untukku sekeluarga.

Jikalau kesederhanaan itu boleh mengelakkan kami daripada perasaan takbur, sombong dan kekufuran, kesederhanaan itulah yang kami harapkan. Akan aku didik ketujuh-tujuh anakku dengan sesempurna mungkin. Biar sederhana tapi sempurna. Amin ya rabbal alamin.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,170619,00.html

Berita Harian - Matematik (Malay) Part 2

Published in Berita Harian 14 May 2010

Matematik
Bahagian kedua (akhir)

AKU sedang melakar sebuah karangan Melayu yang ditugaskan oleh Cikgu Saleha. Johari, teman sekelas yang duduk di meja berdekatan denganku, memberi isyarat kepadaku sambil mengenyit-ngenyit mata kirinya. Tangannya digerak-gerakkan seolah-olah sedang bermain 'injit-injit (jinjit-jinjit) semut'. Aku memandangnya dan cuba mengertikan makna isyarat tersebut. Puas aku merenung tetapi tidak juga aku mendapat jawapannya. Setelah penat menunggu huraian aku, dia mula membuka mulutnya. Belum sempat sepatah kata dikeluarkan, kedengaran suara Cikgu Saleha bergema di kelas: 'Johari, apa awak buat tu? Cikgu kata jangan bercakap sewaktu melakukan kerja yang cikgu berikan.'

'Saya hendak tanya Kamal apakah perkataan Melayu untuk hike, cikgu,' jawab Johari selamba.

'Hike pun awak tidak tahu? Itulah, cikgu suruh awak semua baca banyak buku Melayu tetapi semua tidak mahu dengar. Hike maksudnya daki. Mendaki,' tegur Cikgu Saleha.

'Terima kasih cikgu,' kata Johari. Dia memusingkan kepalanya ke arahku lalu melemparkan satu senyuman sumbing sebelum sambung menulis karangannya. Tiba-tiba, Cikgu Saleha bersuara lagi: 'Cikgu bukannya apa. Kalau boleh, cikgu mahu awak sekurang-kurangnya berjaya menguasai bahasa ibunda dengan baik. Sedikit sebanyak, markah yang awak dapat boleh membantu markah keseluruhan awak di akhir tahun ini. Maklumlah, kalau hendak harapkan Matematik, sampai bila pun markah awak tidak boleh naik.'

Terpaku aku dibuatnya. Sudah sah cikgu aku pun termakan ideologi loyar buruk ini. Hilang tumpuanku di sekolah buat hari itu. Di rumah pula, aku sibuk mengulang kaji pelajaran Matematik. Tidak sabar rasanya mahu aku buktikan bahawa aku lemah Matematik kerana kemalasanku sendiri dan bukan kerana aku orang Melayu! Bakaku tidak kurang hebatnya daripada orang lain. Semalaman aku tidak tidur. Aku ingin memastikan bahawa kali ini, aku akan mendapat markah cemerlang buat subjek yang sering dianggap satu bebanan buat masyarakat aku.

'Xiu Yong. Ping Hui. Michelle. Ahmad. Yi Yun.' Encik Lee memanggil setiap muridnya bagi memulangkan kertas ujian yang sudah dimarkahkan. Akhirnya, namaku dipanggil. Aku melonjat ke hadapan dan, dengan penuh yakin, aku mengambil semula kertas ujian Matematikku. Berdebar rasanya ketika ingin melihat markah yang tertera di halaman pertama.

Aku berdiri tegak. Tidak berganjak. Hatiku remuk. Suasana riuh-rendah di kelas seakan-akan tertapis di deria telingaku. Aku hanyut di duniaku sendiri. Berat rasanya langkahku mahu kembali ke tempat duduk. Tumpuanku hilang sama sekali. Menyedari mukaku yang pucat, Encik Lee menghampiriku lalu bertanya: 'Kamal, awak okey?' Aku tidak mampu menjawab soalannya. 'Mungkin awak kena kerja lebih keras lagi agar...'

Belum sempat Encik Lee menghabiskan nasihatnya, aku menjerit, 'Sebab saya orang Melayu!' Terkejut Encik Lee serta rakan sedarjahku apabila melihat reaksiku yang pelik. Suasana yang tadinya riuh-rendah menjadi sunyi sepi. Aku mula menangis dan menutup mukaku dengan kedua-dua belah tanganku. Putus asa, kesal dan malu, semuanya bercampur aduk di jiwaku. Beberapa minit kemudian, baru Encik Lee bersuara lagi: 'Jumpa saya selepas kelas ya.'

'Tidak guna cikgu memberi saya kelas tambahan. Tidak memanfaatkan sesiapa pun sama ada cikgu mahupun saya. Memang saya lemah Matematik sebab sudah nasib saya dilahirkan sebagai orang Melayu yang bodoh Matematik. Saya kerja keras pun, apa hasilnya?' Aku meluahkan perasaanku. Buat seketika, Encik Lee memandangku dengan pandangan yang redup dan penuh simpati. Aku tahu Encik Lee tidak akan mampu berbuat apa-apa untuk mengubah nasibku.

'Kamal, awak tahu, satu waktu dahulu ketika cikgu berada di tingkatan awak, cikgu pun lemah Matematik. Puas cikgu belajar tetapi markah yang cikgu dapat gagal menunjukkan kerja keras cikgu selama itu. Cikgu hampir putus asa tetapi cikgu bernasib baik kerana mempunyai seorang guru yang bersungguh-sungguh dan ingin melihat cikgu berjaya. Dia membimbing dan memberi kelas tambahan buat cikgu sehinggalah akhirnya cikgu mendapat gred A1 untuk subjek Matematik. Nama guru itu ialah Cikgu Kassim.'

Cikgu Kassim? Bukankah dia seseorang yang berbangsa Melayu? Belum sempat aku bertanya, Encik Lee meneruskan ceritanya, 'Iya. Cikgu Kassim. Tengok, bangsa Melayu bukan satu bangsa yang lemah dari segi subjek Matematik mahupun moral. Ia juga bergantung kepada struktur Singapura secara amnya dan keinginan seseorang mahu berjaya. Awak harus memanfaatkan sistem pembelajaran Singapura yang memberi awak peluang bagi mendapat pelajaran yang serupa dengan rakan-rakan awak yang berasal dari masyarakat lain. Sama bilik darjah. Sama guru-guru. Tetapi, kekuatan azam dan cita-cita setiap orang berbeza. Jikalau awak sungguh-sungguh ingin menjadi seorang pelajar cemerlang, awak boleh. Ini kerana awak mempunyai potensi yang sama dengan rakan-rakan awak - tidak kira bangsa atau agama. Keutamaan awak harus betul dan kerja keras itu ialah sesuatu yang wajib. Awak mengerti sekarang? Awak gagal bukan kerana awak orang Melayu. Ini bukan satu fenomena buat masyarakat awak. Ujian tadi awak gagal kerana pengetahuan asas awak masih lemah. Oleh itu, kita bermula dari bab yang pertama ya?' Panjang benar nasihat Encik Lee kali ini. Setelah mendengar hujahnya, semangatku semakin membara mahu terus berjuang agar dapat menjadi seseorang yang cemerlang dari segi akademik dan moral suatu hari nanti.

'Termenung jauh nampaknya cikgu?' tegur seorang lelaki yang berpakaian serba biru. Tersentap aku daripada lamunan.

'Abang sudah lama sampai ke?' aku bertanyakan abangku yang sekarang bekerja sebagai seorang jurutera elektrik setelah tamat pengajiannya di ITE.
'Abang baru sampai. Engkau sudah pesan makanan? Abang laparlah. Dari pagi tadi abang belum makan. Di tempat kerja, bekalan elektrik terputus. Itulah, abang sudah pesan semua kakitangan agar jangan menggunakan pendawaian tambahan (extension wire) yang berlebihan. Semua tidak ambil peduli. Kan sekarang satu bangunan menjadi gelap gelita! Siapa yang susah?' leter abangku.

'Ni kirakan mereka tersilap kira lah ni, berlebihan voltan (voltage),' aku mencela.

'Iyalah cikgu Kamal. Agaknya mereka tidak tahu mengira tak? Lebih baik kau adakan kelas Matematik buat semua kakitangan di tempat kerja abang! Jadi, tidaklah mereka menyusahkan abang lagi,' seloroh abangku. Kami berdua pun tertawa sambil menghirup kopi panas.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,164684,00.html

Berita Harian - Matematik (Malay) Part 1

Published in Berita Harian 7 May 2010

Matematik
Bahagian Pertama

'NI lu punya ikan,' kata Pak Cik Wong sambil menghulur kembali baki wang ibu. Ibu mengambilnya dan mula beredar. Beberapa tapak kemudian, ibu berhenti dengan tiba- tiba. Dahinya berkerut seribu. Aku memandang wajah ibu yang seolah-olah sedang merenung jauh. Langkahnya dipercepatkan dan dalam sesaat sahaja, ibu telah kembali ke gerai ikan Pak Cik Wong.

'Wong, lu salah kasi gua duitlah. Ikan ni semua $14.20. Gua kasi $20, lu kasi balik $4.80. Kurang $1!' Ibu melebarkan telapak tangannya lalu menunjuk Pak Cik Wong baki yang diterima sebentar tadi. Pak Cik Wong tersenyum. Dia mengeluarkan satu syiling emas dari sebuah bakul kecil berwarna merah dan memberinya kepada ibu.

'Lu banyak pandai ah. Orang Melayu selalu tak tahu kira duit. Apa gua kasi dia orang ambil aja,' seloroh Pak Cik Wong. Gigiku kuat mencengkam bibirku menahan marah. Aku memandang wajah ibu yang ternyata terhibur mendengar kata-kata Pak Cik Wong. Selepas berbalas beberapa ayat, ibu pun mula berjalan meninggalkan gerai ikan tersebut. Aneh rasanya melihat tingkah laku ibuku.

'Kenapa ibu tidak rasa marah apabila Pak Cik Wong kata orang kita tidak tahu kira duit?' tanya aku kepada ibu. Ibu, yang sedang asyik menyiang ikan dari tadi, tersentap mendengar soalanku. Dia menoleh mukanya ke kiri dan memandang tepat ke arah ayahku. Dia seakan-akan mengharap agar ayah dapat memberi jawapan terhadap persoalan aku. Namun, memandangkan ayah tidak mengeluarkan sebarang kata, ibu menjawab, 'Kenapa Kamal tanya? Tidak ada salahnya Pak Cik Wong bergurau dengan ibu. Lagipun, memang benar kata-kata dia tadi. Memang orang Melayu tidak pandai matematik.'

Terbeliak kedua-dua biji mataku mendengar kenyataan ibu. Aku tidak setuju sama sekali. 'Mana ada. Orang Melayu tidak kurang hebatnya daripada orang lain dalam matematik. Ibu tidak seharusnya setuju dengan Pak Cik Wong. Ibu harus memperbetulkan anggapan Pak Cik Wong yang salah!' Aku memberontak. Mendengar ketinggian suaraku, ibu menjadi berang. Dia meletakkan pisau ke dalam tangki basuh lalu berkata: 'Hendak memperbetulkan apa? Orang Melayu kita ni, kalau bidang nyanyian memang jaguh tapi kalau hal-hal matematik atau sains, satu pun tidak boleh harap! Kau tengok abang kau tu. Apa yang dia tahu? Asyik main gitar aje. Bukannya hendak mengulang kaji pelajaran! Kau pun sama. Asyik gagal aje dalam matematik. Sudah beribu dolar ibu keluarkan untuk pengajian privet di rumah tetapi masih dapat dakwat merah!'

Sampai hati ibu berkata sedemikian. Aku terdiam. Ayahku yang dari tadi hanya mendiamkan diri mula bersuara untuk meredakan ketegangan antara aku dan ibu.

'Midah, janganlah awak marahkan Kamal. Kamal, kau masuk bilik sekarang dan belajar,' ucap ayahku dengan nada lembut. Aku menundukkan kepala dan hampir melangkah pergi apabila aku tiba-tiba berkata: 'Kamal gagal matematik bukan kerana baka! Kamal gagal kerana Kamal sendiri yang malas nak belajar!' Air mataku mula menitis di pipi. Ibu dan ayah tergamam.

Bukan maksudku melawan percakapan ibuku. Aku sedih. Aku kecewa. Daripada surat khabar ke majalah, asyik-asyik mempunyai tanggapan bahawa masyarakat Melayu lemah matematik. Apa salah bakaku? Adakah orang Melayu sememangnya merupakan satu masyarakat yang memang serba kekurangan dari segi genetik? Jikalau jawapannya betul, sia-sia sahaja Hang Tuah berkata: 'Takkan Melayu hilang di dunia'. Jikalau semua kesilapan dan kelemahan sosial dituding jari ke arah orang Melayu dan masyarakat Melayu kerap dirundung masalah kerana baka dan tradisinya, lebih baik Melayu hapus sahaja dari muka bumi ini. Apa gunanya menjadi bangsa yang membenarkan orang lain menindas bangsanya sendiri? Aku tidak mengerti mengapa orang Melayu sendiri berbesar hati menerima dakwaan bahawa bangsanya lemah mengira dan bodoh matematik. Banyak juga penuntut daripada kaum lain yang tidak mahir dalam subjek Matematik tetapi mengapa media memaparkannya seolah-olah masalah itu masalah eksklusif orang Melayu? - Bersambung.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,164265,00.html