Friday

Berita Harian - Kemaruk Orang Putih (Malay) Part 2

Published in Berita Harian on 19 November 2010

Kemaruk orang putih
Bahagian kedua dan terakhir

'WANA, lama tak jumpa! Apa khabar kau sekarang?' Esah memeluk eratku.

'Baik alhamdulillah. Kau macam mana sekarang? Dengar-dengar dah tiga anak engkau kan?'

Aku tersenyum lebar melihat wajah jiran tetangga aku dahulu yang semakin bulat.

'Aku O.K. Eh! Anak Yas tu kahwin dengan orang putih eh? Hari itu aku jumpa kakak engkau kat Sentosa. Aku ingatkan orang putih celup mana! Ha... ha... ha..! Aku tanya sikit, jawabnya orang putih. Seksi anak saudara kau tu... Terang-terang pakai bikini. Happening lah keluarga kau!'sambung Esah sambil tergelak.

Aku hanya mengangguk dan memaksakan satu senyuman. Orang kata, cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit juga. Itu satu sindiran. Ada kalanya orang kita bermegah tidak bertempat. Megah kerana menjalankan kehidupan seperti orang Barat. Namun, mereka tidak sedar bahawa mereka ditertawakan oleh orang kita, mungkin juga oleh orang Barat. Haruskah aku menasihati Kak Yas supaya dirinya tidak lagi dipersendakan?

Keesokan malam, aku datang menziarahi Kak Yas dan ayah. Seperti biasa, Jiha tidak ada di rumah. Kak Yas nampak riang. Aku rasa inilah masa sesuai untuk memberinya sedikit pendapat aku.

'Kak Yas, Wana cakap sikit Kak Yas jangan tersinggung O.K.?' aku memulakan perbualan.

'Apa dia yang engkau nak cakap?' balas Kak Yas.

'Pasal Jiha,' jawab aku.

'Jiha? Kenapa dengan dia?' Kak Yas sudah mula mengerutkan dahinya.

'Kak, Wana rasa, tidak elok jikalau Jiha dibiarkan tinggal serumah dengan Jonathan. Tidak manis dipandang orang,' kata aku dengan suara yang lembut.

'Eh! Tak apalah. Jiha dah besar. Mereka pun suka sama suka. Apa salahnya? Kau pun, nama aja belajar universiti, otak tu janganlah kuno sangat.'

Percakapan Kak Yas memang tajam jikalau dia tengah marah. Aku sudah bersedia menerima tempisan panas daripada mulut kakak. Bukan hanya sebagai seorang Muslimah, sebagai seorang adik, aku rasa harus aku cuba memperbetulkan perkara yang masih boleh diperbaiki. Aku tidak mahu bersubahat. Jikalau percubaan aku gagal kali ini, itu terpulang dengan Kak Yas. Yang penting, aku sudah menasihatinya.

'Kak, betapa kita moden dan canggih sekalipun, yang haram tetap haram dan yang halal tetap halal. Kita tidak boleh menghalalkan benda yang haram. Agama Islam ialah agama yang boleh jalan seiring dengan arus pemodenan. Tidak perlu kita mengingkari perintah Allah,' aku menjawab.

Muka Kak Yas merah padam menahan marah.

'Jikalau kau hendak beri kata-kata hikmah, buat aja di masjid! Berdekah- dekah cakap pasal agama. Kau ni sebenarnya cemburu kan? Cemburu tengok Jiha ada teman lelaki orang putih?

'Engkau dengan Limah sama sahaja! Aku tahulah anak aku tak sepandai anak korang semua! Tak masuk poly. Tak masuk universiti. Bukan anak korang aje yang boleh ada standard! Kau dengar Wana. Aku tak mahu engkau ungkit pasal agama lagi. Kubur masing-masing!'

Aku beristighfar. Mengapa begitu jauh Kak Yas hanyut? Sangkaannya begitu serong terhadap kami adik-beradik. Aku tidak pernah memandang rendah anak-anak saudara atau sahabat handai aku yang kurang berjaya dalam bidang pendidikan. Itu rezeki masing-masing.

Jikalau Kak Yas berhasrat ingin meninggikan martabat anaknya sekalipun, inikah caranya? Hebat benarkah cara kehidupan orang Barat? Adakah kebebasan yang tiada hadnya dalam isu pergaulan yang dikejarkan?

Banyak bangsa, termasuk orang putih, yang berpusu-pusu ingin mempelajari Islam. Mereka memeluk agama murni ini dan menjadikan Islam pembimbing dan pelita hidup. Sebahagian orang kita pula, yang bertuah dilahirkan sebagai orang Islam, memilih untuk memeluk budaya Barat yang tatasusilanya amat berbeza dan ada kalanya bercanggah dengan agama kita. Hidup ini tidak kekal. Seharusnya kita menggunakannya sesempurna mungkin.

Aku tidak mahu lagi bertengkar dengan Kak Yas. Aku tahu ayah sudah putus asa menasihati Kak Yas. Walau bagaimanapun, aku tidak terperanjat dengan reaksi Kak Yas. Sudah aku temui beberapa orang kita yang sanggup menggadaikan agama, bangsa dan bahasa untuk menggayakan kehidupan orang putih demi menonjolkan ketamadunan mereka. Aku benar-benar hairan dengan kemaruk dan kegelojohan mereka. Tingkah laku mereka boleh dianggap berlebih-lebihan jika dibandingkan dengan cara kehidupan sebenar orang putih.

'Kenapa Wana masuk campur rumah tangga orang? Mestilah Kak Yas marah,' tegur suami aku.

'Wana bukannya apa, dia kakak Wana. Terkilan juga Wana apabila terdengar orang kutuk-kutuk Kak Yas. Kak Yas ingat dengan fasih dalam bahasa Inggeris, hidup macam orang Barat, anak berhubungan dengan orang putih, orang lain akan memandang tinggi dan menjunjungnya. Salah tu. Orang tak pandang pun. Depan dia mungkin orang memuji-muji tetapi di belakang? Kita saja yang dengar,' jelas aku.

'O.K. Sekarang Wana dah nasihat Kak Yas kan? Dia tidak mahu dengar, biarkanlah. Kita doa dari jauh. Yang penting, kita memberi tumpuan kepada keluarga kita sendiri. Boleh Puan Wana?' nasihat suamiku.

Aku memandang lesu suamiku sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Beberapa bulan kemudian, heboh di dalam lingkungan keluargaku tentang Jiha. Hubungan Jiha dan Jonathan putus di tengah jalan seperti yang telah kami jangkakan. Kak Yas tetap angkuh. Loghat Inggeris celupnya semakin menjadi-jadi. Agaknya untuk menutup malunya sendiri. Ayah tidak lagi tinggal dengan Kak Yas. Dia kian lebih selesa tinggal bersama aku sekeluarga. Semoga Allah memberi petunjuk kepada Kak Yas sekeluarga. Busuk-busuk pun, mereka merupakan darah daging aku juga.

'Mama, itu Kak Jiha kan?'

Anak bongsu aku menuding jari kecilnya ke arah satu kelibat yang jaraknya agak jauh daripada kami.
Aku menelitinya. Kelibat itu kemudian bergerak dengan perlahan ke arah satu kawasan yang lebih terang. Sah. Itu Jiha bersama seorang lelaki orang putih. Aku yakin itu bukan Jonathan. Mereka begitu intim walaupun di kawasan awan. Aku kesal melihat anak saudaraku menjadi begini. Dengan perlahan, aku memandang semula ke arah anak aku yang masih asyik melihat aksi sumbang kakak saudaranya.

'Salah orang lah Yati,' aku menjawab. Aku tidak mahu anak yang baru berusia tujuh tahun mula memandang serong terhadap kakak saudaranya. Terlebih-lebih lagi setelah melihat adegan- adegan yang tidak sopan oleh pasangan bukan mahram itu. Belum masanya untuk dia mengetahui semua. Manalah tahu di satu masa nanti, Jiha akan berubah menjadi seseorang yang lebih baik.

Seperti yang selalu dikatakan, kita boleh buat sembilan kebaikan tetapi satu keburukan itulah yang sentiasa menjadi bahan mulut orang. Oleh itu, lebih baik aku menutup keaiban Jiha, anak saudara yang masih aku kasihi.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,176686,00.html

Saturday

Berita Harian - Kemaruk Orang Putih (Malay) Part 1

Published in Berita Harian on 12 November 2010

Kemaruk orang putih
Bahagian Pertama

TIPIS bibirnya mengukir satu senyuman. Tubuhnya sasa, tidak kurang hebat berbanding pelakon-pelakon terkenal di dunia Barat.
Kedua-dua bebola mata yang sarat dengan warna biru cair merenung tepat ke arah ku. Aku dapat merasakan kegirangan anak salji ini. Terlebih-lebih lagi apabila dipeluk erat oleh seorang gadis matahari.

Satu ciuman dilekatkan di pipi dan sekilas memaparkan kemesraan pasangan ini.

'Itu kawan Jiha dari Amerika. Nama dia Jonathan,' ujar kakak aku dari belakang secara tiba-tiba. Terkejut aku dibuatnya. Aku menoleh kembali ke potret yang asyik aku hayati tadi.

'Dah berapa lama mereka kenal? Kak Yas tidak pernah beritahu Wana tentang lelaki ini pun?' aku bertanya.

'Satu tahun,' jawab Kak Yas sambil tersenyum lebar.

Ayah yang duduk menyepi di satu sudut sejak aku datang ke rumah Kak Yas hanya memandangku dengan pandangan yang pudar. Ayah nampak semakin uzur. Setelah Kak Yas beredar untuk melayan tetamu yang lain di ruang makan, aku menghampiri ayah lalu aku mengusap rambutnya yang putih berseri.

'Kau tengoklah anak saudara kau.'

Mata ayah mengerling ke arah potret itu.

'Belum ada apa-apa ikatan, dah peluk cium macam gitu sekali. Aku dan arwah mak engkau pun tak ambil gambar macam gitu,' sambung ayah. Suaranya semakin serak.

Tumpuan aku beralih ke ruang makan pula.

Kak Yas sibuk melayan sahabat handai dan ahli keluarga yang lain. Tidak aku dengar sepatah bahasa Melayu pun walaupun yang datang semuanya berbaju kurung dan berkulit hitam manis.

Pelik rasanya. Aku juga belajar sampai ke universiti dan mempunyai ramai kenalan berbangsa putih, tetapi tidak pula pernah aku mendengar loghat yang sedemikian rupa. Ucapan mereka seolah-olah melebihkan belitan lidah, mengalahkan orang putih sendiri. Anak-anak aku khusyuk bermain dengan sepupu-sepupu sebaya mereka.

Perlahan-lahan aku berjalan ke ruang makan dengan alasan hendak mengambil segelas air.

Para tetamu sibuk makan. Hidangan yang beraneka jenis tentu membuat tetamu rambang mata. Namun, apa yang menarik perhatian aku ialah cara mereka makan. Garfu di tangan kiri dan pisau di tangan kanan.

Tidak aku nafikan bahawa demikian adalah cara yang betul untuk makan menggunakan garfu dan pisau. Masalahnya, kita beragama Islam. Oleh itu, tidak elok jika makanan disuap dengan menggunakan tangan kiri - tangan yang digunakan untuk beristinjak.

Mereka meneruskan makan tanpa rasa segan silu, malah bangga dengan cara pemakanan mereka yang betul dari segi adat orang Barat.

Aku kembali duduk di tepi ayah. Sekali lagi dia bersuara: 'Budak orang putih tu bukannya betul-betul hendakkan anak saudara kau. Main-main aje. Ni, dah berapa bulan tinggal dengan lelaki tu? Belum tunang, belum kahwin, dah tinggal sebumbung. Orang putih macam ini, esok lusa dia nak balik Amerika, gigit jarilah Jiha.'

'Kakak kau pun satu. Bangga tidak bertempat. Sepatutnya dia suruh orang putih tu ikut adat resmi kita.'

'Sudah pilihan mereka ayah. Kita nak buat macam mana,' aku berkata dengan nada yang jauh lebih perlahan agar perbualan kami tidak didengari sesiapa.

'Gambar besar-besar. Ayah malu. Macam tidak ada didikan agama. Kalau iya pun, sembunyikanlah gambar itu. Tak perlu tayang di sana sini. Belum tentu ke jenjang pelamin. Sedangkan suami isteri boleh bercerai, inikan pula orang yang takde ikatan? Lain agama, lain budaya,' ujar ayah.

Mukanya merah padam menahan marah dan kecewa.

Aku tahu ayah rimas. Kak Yas sekeluarga memang kerap berbicara dalam bahasa Inggeris. Ayah tidak faham. Oleh itu, ayah rasa dirinya dipinggirkan.

Dulu, aku mengajak ayah tinggal di rumah aku. Namun, pelawaan aku ditolak kerana ayah ingin menetap di rumah di mana dia membesarkan anak-anaknya bersama ibu. Kak Yas membeli rumah ayah beberapa tahun yang lalu.

Selang beberapa minit kemudian, kedengaran riuh di depan pintu. Aku memanjangkan leher untuk melihat siapa yang datang. Oh! Rupanya Jiha dan Jonathan. Kak Yas terus menerpa Jonathan dan mencium pipinya. Aku tahu Kak Yas benar-benar mengharap agar Jonathan mengahwini anaknya. Semakin kembanglah hidung Kak Yas dengan kehadiran Jonathan.

Limah, adik aku yang bongsu, mencebikkan bibir. Cemburu. Limah mempunyai tiga anak dara. Aku bukan jenis yang suka membuat bandingan tetapi aku harus akui bahawa anak-anak Limah memang lebih cantik dari segi paras rupa jikalau dibandingkan dengan Jiha. Jonathan dilayan bak sang putera dari kayangan. Semakin kelat pula loghat Inggeris mereka. Hampir tertawa aku dibuatnya.

Kemudian, seorang anak kecil muncul dari belakang. Duda rupanya. Selepas bersalaman dengan aku, Jiha duduk berhampiran dan memanggil manja anak itu: 'Peter, come here.'

Dia kemudian memangku anak itu di ribanya. Kak Yas bergegas ke Peter dan meminta satu ciuman daripada anak comel itu. Lantas, Peter diciumnya di mulut. Bukan sekali. Bahkan, berkali-kali. Jiha tertawa kecil, seakan-akan seronok melihat aksi dan keramahan ibunya.

Perkara ini memang subjektif tetapi sebagai seorang wanita Melayu, aku berasa kekok. Ayah hanya mengguling matanya ke atas. Setelah aku sekeluarga menjamu selera, aku pun minta diri. Ada banyak lagi rumah yang harus aku kunjungi. Maklumlah, suami aku mempunyai ramai sanak saudara.

Di dalam kereta, aku banyak mendiamkan diri. Bukan jenis aku suka jaga tepi kain orang, tetapi peristiwa tadi memang boleh dijadikan bahan renungan.

Bukan aku tidak tahu berbahasa Inggeris, malah di universiti dahulu, aku mengambil pengajian sastera Inggeris. Jikalau ingin dibandingkan kefasihan aku bertutur di dalam bahasa itu dengan adik-beradik aku yang lain, aku jaguh.

Di tempat kerja, aku pun banyak teman-teman yang berkulit putih. Sebagai warga Singapura, aku akur bahawa Inggeris adalah bahasa utama kita. Ia memainkan peranan penting untuk menjamin pekerjaan yang baik untuk anak Melayu.

Memang tidak salah jikalau anak-anak buah aku suka bercakap dan mendengar lagu dalam bahasa Inggeris. Tidak mengapa juga jika mereka suka makanan dan fesyen orang Barat.

Namun, bagi aku, ia hendaklah bertempat dan seimbang kerana kita harus ingat, kulit kita tetap berwarna matahari.

Agama kita Islam.

Kita tidak perlu menjadi kebaratan seratus peratus untuk menjadi tamadun. Yang baik kita ambil dan yang tidak sesuai dengan agama, lebih baik jika kita hindari.

Biar kita menguasai bahasa Inggeris. Jangan pula kita benarkan bahasa Inggeris menguasai kita. Jangan juga kita menjadi orang yang hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

Bahkan orang putih sendiri terasa lucu melihat kejakunan kita. Cuma kita sahaja yang tidak perasan.

Bersambung...

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,176252,00.html