Published in Berita Harian on 12 November 2010
Kemaruk orang putih
Bahagian Pertama
TIPIS bibirnya mengukir satu senyuman. Tubuhnya sasa, tidak kurang hebat berbanding pelakon-pelakon terkenal di dunia Barat.
Kedua-dua bebola mata yang sarat dengan warna biru cair merenung tepat ke arah ku. Aku dapat merasakan kegirangan anak salji ini. Terlebih-lebih lagi apabila dipeluk erat oleh seorang gadis matahari.
Satu ciuman dilekatkan di pipi dan sekilas memaparkan kemesraan pasangan ini.
'Itu kawan Jiha dari Amerika. Nama dia Jonathan,' ujar kakak aku dari belakang secara tiba-tiba. Terkejut aku dibuatnya. Aku menoleh kembali ke potret yang asyik aku hayati tadi.
'Dah berapa lama mereka kenal? Kak Yas tidak pernah beritahu Wana tentang lelaki ini pun?' aku bertanya.
'Satu tahun,' jawab Kak Yas sambil tersenyum lebar.
Ayah yang duduk menyepi di satu sudut sejak aku datang ke rumah Kak Yas hanya memandangku dengan pandangan yang pudar. Ayah nampak semakin uzur. Setelah Kak Yas beredar untuk melayan tetamu yang lain di ruang makan, aku menghampiri ayah lalu aku mengusap rambutnya yang putih berseri.
'Kau tengoklah anak saudara kau.'
Mata ayah mengerling ke arah potret itu.
'Belum ada apa-apa ikatan, dah peluk cium macam gitu sekali. Aku dan arwah mak engkau pun tak ambil gambar macam gitu,' sambung ayah. Suaranya semakin serak.
Tumpuan aku beralih ke ruang makan pula.
Kak Yas sibuk melayan sahabat handai dan ahli keluarga yang lain. Tidak aku dengar sepatah bahasa Melayu pun walaupun yang datang semuanya berbaju kurung dan berkulit hitam manis.
Pelik rasanya. Aku juga belajar sampai ke universiti dan mempunyai ramai kenalan berbangsa putih, tetapi tidak pula pernah aku mendengar loghat yang sedemikian rupa. Ucapan mereka seolah-olah melebihkan belitan lidah, mengalahkan orang putih sendiri. Anak-anak aku khusyuk bermain dengan sepupu-sepupu sebaya mereka.
Perlahan-lahan aku berjalan ke ruang makan dengan alasan hendak mengambil segelas air.
Para tetamu sibuk makan. Hidangan yang beraneka jenis tentu membuat tetamu rambang mata. Namun, apa yang menarik perhatian aku ialah cara mereka makan. Garfu di tangan kiri dan pisau di tangan kanan.
Tidak aku nafikan bahawa demikian adalah cara yang betul untuk makan menggunakan garfu dan pisau. Masalahnya, kita beragama Islam. Oleh itu, tidak elok jika makanan disuap dengan menggunakan tangan kiri - tangan yang digunakan untuk beristinjak.
Mereka meneruskan makan tanpa rasa segan silu, malah bangga dengan cara pemakanan mereka yang betul dari segi adat orang Barat.
Aku kembali duduk di tepi ayah. Sekali lagi dia bersuara: 'Budak orang putih tu bukannya betul-betul hendakkan anak saudara kau. Main-main aje. Ni, dah berapa bulan tinggal dengan lelaki tu? Belum tunang, belum kahwin, dah tinggal sebumbung. Orang putih macam ini, esok lusa dia nak balik Amerika, gigit jarilah Jiha.'
'Kakak kau pun satu. Bangga tidak bertempat. Sepatutnya dia suruh orang putih tu ikut adat resmi kita.'
'Sudah pilihan mereka ayah. Kita nak buat macam mana,' aku berkata dengan nada yang jauh lebih perlahan agar perbualan kami tidak didengari sesiapa.
'Gambar besar-besar. Ayah malu. Macam tidak ada didikan agama. Kalau iya pun, sembunyikanlah gambar itu. Tak perlu tayang di sana sini. Belum tentu ke jenjang pelamin. Sedangkan suami isteri boleh bercerai, inikan pula orang yang takde ikatan? Lain agama, lain budaya,' ujar ayah.
Mukanya merah padam menahan marah dan kecewa.
Aku tahu ayah rimas. Kak Yas sekeluarga memang kerap berbicara dalam bahasa Inggeris. Ayah tidak faham. Oleh itu, ayah rasa dirinya dipinggirkan.
Dulu, aku mengajak ayah tinggal di rumah aku. Namun, pelawaan aku ditolak kerana ayah ingin menetap di rumah di mana dia membesarkan anak-anaknya bersama ibu. Kak Yas membeli rumah ayah beberapa tahun yang lalu.
Selang beberapa minit kemudian, kedengaran riuh di depan pintu. Aku memanjangkan leher untuk melihat siapa yang datang. Oh! Rupanya Jiha dan Jonathan. Kak Yas terus menerpa Jonathan dan mencium pipinya. Aku tahu Kak Yas benar-benar mengharap agar Jonathan mengahwini anaknya. Semakin kembanglah hidung Kak Yas dengan kehadiran Jonathan.
Limah, adik aku yang bongsu, mencebikkan bibir. Cemburu. Limah mempunyai tiga anak dara. Aku bukan jenis yang suka membuat bandingan tetapi aku harus akui bahawa anak-anak Limah memang lebih cantik dari segi paras rupa jikalau dibandingkan dengan Jiha. Jonathan dilayan bak sang putera dari kayangan. Semakin kelat pula loghat Inggeris mereka. Hampir tertawa aku dibuatnya.
Kemudian, seorang anak kecil muncul dari belakang. Duda rupanya. Selepas bersalaman dengan aku, Jiha duduk berhampiran dan memanggil manja anak itu: 'Peter, come here.'
Dia kemudian memangku anak itu di ribanya. Kak Yas bergegas ke Peter dan meminta satu ciuman daripada anak comel itu. Lantas, Peter diciumnya di mulut. Bukan sekali. Bahkan, berkali-kali. Jiha tertawa kecil, seakan-akan seronok melihat aksi dan keramahan ibunya.
Perkara ini memang subjektif tetapi sebagai seorang wanita Melayu, aku berasa kekok. Ayah hanya mengguling matanya ke atas. Setelah aku sekeluarga menjamu selera, aku pun minta diri. Ada banyak lagi rumah yang harus aku kunjungi. Maklumlah, suami aku mempunyai ramai sanak saudara.
Di dalam kereta, aku banyak mendiamkan diri. Bukan jenis aku suka jaga tepi kain orang, tetapi peristiwa tadi memang boleh dijadikan bahan renungan.
Bukan aku tidak tahu berbahasa Inggeris, malah di universiti dahulu, aku mengambil pengajian sastera Inggeris. Jikalau ingin dibandingkan kefasihan aku bertutur di dalam bahasa itu dengan adik-beradik aku yang lain, aku jaguh.
Di tempat kerja, aku pun banyak teman-teman yang berkulit putih. Sebagai warga Singapura, aku akur bahawa Inggeris adalah bahasa utama kita. Ia memainkan peranan penting untuk menjamin pekerjaan yang baik untuk anak Melayu.
Memang tidak salah jikalau anak-anak buah aku suka bercakap dan mendengar lagu dalam bahasa Inggeris. Tidak mengapa juga jika mereka suka makanan dan fesyen orang Barat.
Namun, bagi aku, ia hendaklah bertempat dan seimbang kerana kita harus ingat, kulit kita tetap berwarna matahari.
Agama kita Islam.
Kita tidak perlu menjadi kebaratan seratus peratus untuk menjadi tamadun. Yang baik kita ambil dan yang tidak sesuai dengan agama, lebih baik jika kita hindari.
Biar kita menguasai bahasa Inggeris. Jangan pula kita benarkan bahasa Inggeris menguasai kita. Jangan juga kita menjadi orang yang hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
Bahkan orang putih sendiri terasa lucu melihat kejakunan kita. Cuma kita sahaja yang tidak perasan.
Bersambung...
http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,176252,00.html
Saturday
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment