Sunday

Berita Harian - Kematianku (Malay)

Published in Berita Harian on 31 December 2010

SUDAH menjadi lumrah manusia untuk keliru di antara kaca dan permata. Bulan yang singgah di angkasa dan memperlihatkan dirinya pada malam-malam yang tertentu dipuja ramai. Namun, sang matahari yang sinarnya memberi kehidupan bumi setiap hari dianggap remeh. Mungkin kerana kepanasannya yang membuat manusia mengeluh. Mungkin juga kerana kesetiaannya mendampingi bumi sehingga manusia lupa akan kewujudannya di kala sibuk dengan urusan harian.


Perihal yang sama sering terjadi apabila keluarga dibandingkan dengan rakan-rakan. Aku kecewa dengan sesetengah insan yang menjunjung tinggi rakan-rakan mereka tetapi menjatuhkan martabat keluarga. Bagi mereka, hanya rakan-rakan yang dapat memahami, menerima dan menyayangi mereka walau apa pun terjadi. Begitu jauhkah pengorbanan seorang sahabat? Mungkin. Aku juga mempunyai sahabat-sahabat yang aku sayangi. Namun, mampukah mereka menggantikan keluargaku? Aku tidak tahu tetapi apa yang pasti, seandainya aku pergi esok...

Menitislah air mata emak dan bapa. Sebak di hati nenek, insan yang mendodoi dan memanjakan aku sejak aku belum boleh merangkak, membuatkan dia tidak mampu berkata-kata. Aku tahu jantungnya sakit. Nenek yang menghidap penyakit semput buat sekian lama tidak dapat membezakan di antara kesakitan akibat serangan semput atau kepiluan mendalam melihat keadaanku pada hari itu.

Mayat yang terbujur kaku dikelilingi adik-beradik, mak cik, pak cik dan sepupuku. Emak tidak putus-putus mengusap rambutku. Air matanya bercucuran sambil mengucapkan, 'Sayang pergi dulu ya. Nanti emak ikut dari belakang,' berkali-kali. Berat hatinya melepaskan anak sulungnya. Anak yang dibanggakannya selama ini. Anak yang tidak kurang juga kedegilannya. Anak yang ditatangnya seperti minyak penuh bertahun-tahun lamanya sehingga cukup dewasa. Namun, segalanya dititik noktah begitu sahaja. Secepat kilat.

Nenek akan duduk di sebelah kepalaku, mencium berkali-kali dahiku yang kian dingin. Dia enggan bergerak ke mana-mana. Tanganku diurut perlahan. Tangan yang selalu memimpinnya, memeluknya ketika dia sedih, bersalaman sebelum melangkah keluar rumah dan yang selalu mengadu sakit akibat tulis terlalu banyak.

Nenek menunggu. Mulutnya tidak penat memanggil-manggil namaku, seolah-olah mengharapkan ia hanyalah satu mimpi buruk. Dia telah kehilangan suaminya. Kini aku. Cucu yang menemaninya tidur setiap malam, yang selalu mengadu dengkuran kuat neneknya dan yang sedia memasang alat pernafasan ketika nenek diserang semput walaupun jam menuding tiga pagi. Nenek, janganlah menangis sedemikian rupa. Aku risau. Siapa yang akan menemani nenek selepas perpisahan ini? Aku harap, adik bongsuku akan ingat pesanan yang sempat aku sampaikan beberapa ketika dahulu.

'Han, jikalau terjadi apa-apa kepada kakak, Han jenguk-jenguk nenek di bilik ya. Takut nenek kesunyian. Kadang-kadang di dalam gelap, nenek menangis. Jangan biarkan dia keseorangan selalu. Makan atau tonton televisyen di biliknya sekerap mungkin ya.'

Adik-beradikku. Tiga kesemuanya. Satu perempuan, dua lelaki. Adik-adik lelaki aku duduk diam melihat aku terbaring kaku, jiwa meratapi pemergian kakak mereka. Adik perempuanku pula memeluk erat emak. Mengimbas kembali, memang banyak kesalahan aku terhadap adik-adikku. Ada yang telah aku malukan di depan tetamu mereka. Ada yang telah aku menindas dan bersikap kasar demi kepentingan diriku. Namun, walau bagaimana teruk kami bertegang urat, darah ibu bapa yang mengalir di jasad kami membuatkan kami bersatu hati kembali. Kasih sayang yang tidak dapat dipertikaikan atau ditukar ganti. Aku mungkin tidak sempat memohon maaf. Nisa, Wan, Han, kakak minta maaf. Betapa kakak harap engkau dapat mendengar ungkapan ini.

Bapa, seseorang yang bersemangat kuat, terus menguruskan semua pekerjaan yang harus dilakukan. Namun aku tahu, sekali-sekala dia akan memandangku, anak sulung yang dipanggilnya 'berlian', dengan satu pandangan yang sayup. Akan tetapi, dia tahu tanggungjawabnya untuk menyempurnakan aku buat kali terakhir, sebagaimana dia cuba menyempurnakan kehidupan aku selama ini. Ketulan isi keras di hujung jari menjadi bukti kecekalannya membesarkan aku walaupun dirinya menderita mencari rezeki tanpa beristirahat walaupun sehari. Bapa, aku ingin membalas jasamu. Aku mahu memberimu kesenangan tetapi aku tidak terdaya melawan takdir. Bapa, bersabarlah.

Di liang lahad, adik-adik lelakiku dan bapa menurunkan aku. Menghadapkan aku ke arah kiblat, air mata adik bongsuku berguguran tanpa putus tatkala melihat wajah kakaknya yang sering menghiasi hidupnya ditimbus tanah. Matanya tidak berkelipan memandang wajahku yang mungkin hanya dapat dilihat kembali di akhir hayatnya. Sedikit demi sedikit, apa yang dilihatnya kini hanyalah tanah lembut berwarna kemerah-merahan.

Malam itu, emak tidak dapat tidur. Terus menangis dan menangis walaupun cuba dipujuk bapa. Nenek memeluk erat bantalku. Menghidu sisa-sisa bauku sebelum ia hilang dimamah masa. Adik-adikku hanya berdiam diri. Aku tahu, di dalam kegelapan itu, pipi mereka hangat dibasahi tangisan sepi. Mata mereka merah keperitan. Mereka cuba tidur untuk melarikan diri daripada kedukaan hati yang teramat perit tetapi tidak berjaya.

Hati dicengkam perasaan hiba dan rindu walaupun hanya beberapa jam terpisah. Perginya seorang kakak, seorang daripada ahli keluarga mereka, seseorang yang telah membesar dan berkongsi cerita suka-duka bersama.

Mungkin mereka terlelap. Namun, apabila mata dibuka, terasalah sunyi yang memeritkan. Keheningan pagi menyelubungi diri. Cuaca dirasakan begitu dingin. Betapa mereka berharap bahawa semua hanyalah mimpi belaka. Betapa mereka teringin melihatku di dapur bersarapan seperti sediakala. Kesunyian subuh hanya dipecahkan oleh bunyi dengusan kipas angin. Badan terasa lemah tetapi kehidupan harus diteruskan sama ada bersama atau tanpa aku.

Rakan-rakan turut berduka. Pemergian aku mungkin mengingatkan mereka bahawa hidup ini hanya sementara. Rakan yang semalamnya boleh bergurau senda tetapi kini membisu seribu kata. Rakan yang bertubuh gempal kini kembali ke tempat asal segala makhluk. Mampukah mereka mengingati aku selalu? Selamanya? Mungkin. Aku tidak tahu tetapi apa yang pasti, seandainya aku pergi esok...

Keluargaku akan terus merinduiku. Rindu yang mungkin memuncak tatkala Hari Raya menjelang. Walaupun berpuluh tahun berlalu, apabila anak-anak saudaraku yang tidak sempat aku membelai menanyakan ayah mereka akan siapakah itu Mak Long, Han akan terdiam sejenak.

Fikirannya terbang begitu jauh mengingatkan kakak sulungnya yang selalu memanjakannya. Matanya mula berair menahan sebak ketika terkenangkan kisah silam yang hanya mampu difahami dan dirasakan oleh dia dan arwah kakaknya. Kakak yang masih dirinduinya setiap kali masalah menimpa dan dia menginginkan seseorang untuk meluahkan perasaan.

Han mengawal emosinya. Dia berpaling semula ke anak-anaknya seraya berkata: 'Jikalau Mak Long masih hidup, dia akan memanjakan kamu semua sebagaimana dia memanjakan abang-abang saudara kamu, Hakimi dan Hanafi, sebelum ini. Ayah...' Air mata Han terus menitis, 'rindukan Mak Long. Mari kita sedekahkan surah Al-Fatihah untuk roh Mak Long. Mak Long selalu tolong ayah, Pak Wan dan Cik Nisa.'

Aku juga merindui keluargaku. Akan aku tunggu hari yang telah dijanjikan dan ditetapkan oleh Allah yang Maha Esa. Di padang mahsyar nanti, akan aku mencari emak, bapa, nenek, Nisa, Wan dan Han. Semoga kita dapat bertemu kembali setelah sekian lama terpisah, dengan izin-Nya.


http://cyberita.asia1.com.sg/rencana/story/0,3617,179271,00.html